KUALA LUMPUR: Perlawanan Sumbangsih musim 2024/2025 bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor akan kekal berlangsung Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam berkata aksi pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2024/2025 itu tidak akan ditunda gara-gara insiden malang yang menimpa pemain sayap sensasi Selangor Mohamad Faisal Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim baru-baru ini.

"Setakat ini perlawanan akan (kekal) berlangsung hari Jumaat. MFL juga tidak menerima permintaan daripada pasukan untuk menunda perlawanan ini. Jika ada sebarang perkembangan terbaharu MFL akan maklumkan," katanya ketika ditemui di Petaling Jaya baru-baru ini.

Sebelum ini timbul khabar angin perlawanan sumbangsih Jumaat ini akan ditunda selepas Faisal pada Ahad lepas cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah dan disahkan mengalami kelecuran tahap empat, selain pergerakan dan percakapannya ketika ini turut terbatas berikutan insiden itu.

Ia merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain skuad Harimau Malaya selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid apabila pemain pinjaman Terengganu FC itu cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.



SUKAN-BOLA SEPAK (SUMBANGSIH) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



JDT mengintai untuk mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali ketujuh berturut-turut sementara kali terakhir Selangor yang muncul naib juara Liga Super musim lepas, menjuarai perlawanan Sumbangsih adalah pada musim 2010.

Sementara itu, Stuart menepis segala spekulasi liar yang timbul susulan serangan jenayah terhadap dua pemain negara antaranya terdapat penglibatan sindiket mengatur perlawanan.

"Bookie antara khabar angin yang timbul tapi saya rasa itu tiada kaitan secara langsung. Liga-M adalah liga yang kita hormati dan semua termasuk pemain berusaha untuk memastikan integriti liga terjaga," katanya sambil menambah insiden menimpa Mohamad Faisal tidak akan menjejaskan imej liga dan MFL.

Stuart berkata MFL juga akan memastikan tahap kawalan keselamatan sepanjang saingan Liga-M termasuk dari aspek penyokong dalam usaha mewujudkan suasana aman sewaktu perlawanan berlangsung.

-- BERNAMA